Bila Tuhan Berbicara..

Bila Tuhan Berbicara..

Ahad, 13 Julai 2014

Mempelajari Bahasa Arab: Suatu Keperluan Atau Sebaliknya??




    Ketika berlangsungnya kelas bahasa Arab, ustazah bertanya kepada anak muridnya,

Kenapa kita kena belajar bahasa Arab ya murid-murid. Siapa tahu?”

Maka,seorang demi seorang anak muridnya menjawab,

Bahasa Arab Bahasa Al-Quran

“Bahasa Arab itu bahasa al-Quran ustazah”
“ Nanti kita di syurga kita bercakap Arab kan ustazah?”
“ Nabi Muhammad orang Arab, jadi dia mesti cakap Arab kan kan..kan..”


  Ustazah hanya tersenyum melihat telatah anak-anak muridnya. Telatah mereka tidak ubah seperti Upin dan Ipin serta rakan-rakan sekelas mereka semasa di dalam bilik darjah.


Upin Dan Ipin Dalam Kelas

“Pandai anak murid ustazah bagi jawapannya. Ini yang buat ustazah makin sayang ini”

Bahasa Arab Kunci Ilmu Agama


Kunci Ilmu 

   Ilmu Syariat Islam terdiri daripada tiga cabang  iaitu Ilmu Fiqh iaitu yang berkaitan hukum-hakam perbuatan seharian manusia, ilmu Aqidah iaitu berkaitan kepercayaan manusia kepada Allah, dan ketiga ilmu Akhlak iaitu ilmu yang menyentuh berkenaan pembinaan keperibadian yang mulia. Al-Quran yang merupakan Kalamullah serta Hadith yang merupakan setiap perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat luaran mahupun dalaman yang disandarkan kepada Nabi Muhammad sollahualaihi wasalam merupakan dua rujukan utama umat Islam (selain Qiyas dan Ijma’ Ulama’) dalam memahami agama Islam. Namun bagi memahami segala isi-isi kandungan yang terdapat dalam Al-Quran dan Hadith, setiap Muslim perlu memahami dan menguasai Bahasa Arab terlebih dahulu. Hal ini sedemikian kerana bahasa pengantar yang digunakan pakai dalam Al-Quran adalah bahasa Arab malah Nabi Muhammad yang merupakan utusan Allah yang terakhir dilahirkan dalam kalangan bangsa Arab di Makkah.

Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran dlm bahasa Arab, moga-moga kalian berfikir

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah pernah berkata bahawasanya adalah menjadi suatu kewajipan bagi setiap muslim untuk menguasai bahasa Arab dalam memahami agama Islam. Beliau menggunapakai satu kaedah Ushol Fiqh bagi menyokong hujahnya iaitu,



"Maka sesungguhnya Bahasa Arab itu sendiri merupakan sebahagian daripada syiar agama Islam, mengetahuinya merupakan fardu yang wajib. Oleh yang demikian, memahami Al-Quran dan As-Sunnah merupakan fardhu, tidak mungkin seseorang itu mampu memahaminya melainkan dengan memahami Bahasa Arab. Apa-apa yang tidak menyempurnakan kewajipan melainkan dengannya, maka ia adalah wajib."

  Syeikh mahu menerangkan kepada kita bahawa pemahaman seseorang individu muslim terhadap agama Islam sesekali tidak akan sempurna melainkan dengan pemahaman dan penguasaan bahasaa Arab, maka atas sebab itu, pemahaman dan penguasaan Bahasa Arab telah mejadi wajib bagi individu yang mahu mendalami ilmu agama Islam seperti Usuluddin, Syariah, Quran dan Sunnah.
   Oleh itu, kuasailah ilmu Bahasa Arab terlebih dahulu sebelum anda mahu mendalami ilmu agama Islam yang lain kerana ilmu bahasa Arab ibarat kunci kepada pemahaman agama Islam.

Bahasa Arab: Adakah Ia Suatu Keutamaan


    Seorang lelaki yang berumur 60-an mengadu kepada seorang ustaz sewaktu dalam suatu majlis ceramah yang dianjurkan  oleh sebuah surau di Gombak,

“ Ustaz, umur pakcik dah 60 lebih. Dah nak dekat 70 dah pun. Pakcik memang berhajat sangat mahu tahu ilmu agama dengan lebih mendalam. Tapi bila ustaz sebut tadi kita wajib belajar ilmu bahasa Arab dahulu, terkeletar lutut pakcik. Maklumlah pakcik dah tua, kalau pakcik nak belajar bahasa Arab dahulu, lambat lagila pakcik nak belajar ilmu agama lain. Makin tua, makin lambat nak tangkap apa yang ustaz ajar. Silap hari bulan, pakcik mati dulu sebelum pakcik sempat habis belajar bahasa Arab.. jadi macamna ustaz, tak kan ada discount sikit untuk pakcik tua ini?

  Ustaz tersebut terdiam lalu berfikir sejenak. Lalu ustaz tersebut menceitakan tentang pandangan almarhum Prof. Dr. Hamka dalam isu ini. Ustaz itu berkata,

Prof. Dr. Haji Abdul Karim Amrullah a.k.a HAMKA

“ Buya HAMKA pernah membuat sebuah anologi tentang peringkat umur manusia. Beliau membahagikan peringkat umur manusia mengikut 3 waktu waktu yang disebut dalam AL-Quran iaitu, Dhuha, Asr dan alLail. Lalu menerangkan bahawa AdDhuha (waktu solat dhuha) ibarat umur manusia sewaktu masih kecil,  Ashar (waktu solat ashar) seperti usia dewasa, Al-Lail (waktu malam) ibarat usia tua. Maka Buya menyebut bahawa setiap manusia yang berhasrat mendalami agama hendaklah mempelajari ilmu-ilmu agama mengikut kategori usianya. Sebagai contoh, individu yang berusia seperti AdDhuha boleh
Belajar Ilmu Mengikut kategori Umur
mempelajari ilmu bahasa Arab terlebih dahulu sebelum berpindah kepada Fiqh, hadith. Adapun mereka yang berusia Ashar, mereka boleh mempelajari ilmu Feqh, hadith , tafsir tanpa perlu mendalami ilmu bahasa Arab, manakala bagi mereka yang sudah berusia alLail, maka seharusnya mereka menumpukan masa dalam mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan ibadah seperti solat, ilmu tajwid, tatacara wudhu’, sedekah, puasa dan sebagainya.

     Begitulah analogi ringkas yang dibuat oleh Prof. Hamka sebagai suatu jawapan bagi persoalan yang seringkali menghantui masyarakat berkenaan keutamaan dalam memahami ilmu agama Islam, iaitu apakah perlu belajar bahasa Arab terlebih dahulu atau boleh belajar ilmu agama serentak dengan bahasa Arab atau belajar ilmu agama tanpa belajar bahasa Arab. Alhamdulillah analogi ringkas yang oleh Buya Hamka merupakan jawapan yang tepat dan padat.

     Semoga tulisan kali ini ada manfaatnya buat para pembaca. Segala salah dan silap dalam tulisan ini mohon ditegur oleh pihak pembaca. Saya menyeru kepada semua khasnya buat diri saya sendiri agar kita terus-menerus menuntut ilmu agama kerana ilmu agama Islam amat luas dan adalah tidak wajar untuk kita berasa memadai dengan belajar asas-asas fardhu a’in yang hanya meliputi perkara-perkara ibadat  seperti solat, puasa, haji, zakat, baca al-Quran bahkan Islam itu meliputi segenap penjuru kehidupan manusia dari sebesar-besar perkara seperti penubuhan Negara dan Kerajaan Islam sehinggalah ke sekecil-kecil perkara seperti membasuh air kencing dan berak. Sekian daripada saya,


Abu Abdul Rahman,
Isnin
14 Julai 2014M bersamaan 16 Ramadhan 1435H

Gombak

Ahad, 15 Jun 2014

PENDENGAR YANG BAIK

Realiti Kehidupan,

     Ternyata sukar sekali untuk mendapatkan seorang pendengar yang baik. Seorang yang bersedia mendengar apa jua luahan perasaan, rintihan kita serta mampu untuk memberi maklum balas yang berkesan sama ada bentuk nasihat,kata-kata perangsang dan sebagainya. Mencari individu yang mempunyai ciri-ciri tersebut bagaikan mencari kaca dalam lautan pasir yang luas kerana hakikatnya ramai yang tidak bersedia mahupun sudi mendengar.

      Kebanyakan orang menganggap orang yang suka meluah perasaan ini lemah jiwa, macam perangai perempuan, malah mereka berpandangan sekiranya kita mahu mengadu akan masalah kita mahupun meluahkan perasaan kita, mengadu, meluahlah segalanya pada Allah. Hal ini bertambah parah apabila adanya individu yang suka memperkecilkan masalah yang dihadapi orang lain. Semua orang tahu bahawasanya Allah adalah sebaik-baik tempat untuk kita mengadu atau meluah segala permasalahan yang kita hadapi namun adakalanya manusia mahu luahan perasaannya itu didengari oleh manusia prihatin yang sudi mendengar kerana ia sedimit sebanyak dapat meringankan beban yang dipikul.

     Maka, persiapkanlah diri anda untuk menjadi seorang pendengar yang baik kerana pastinya kehadiran individu seperti ini dinanti-nantikan oleh mereka yang mendambakan kasih seseorang yang sudi mendengar luahan isi hati mereka kerana ia sedikit sebanyak boleh meringankan beban masalah yang dipikul oleh individu tersebut.

    Oleh itu, kurangkan bercakap, banyakkan mendngar. InshaAllah anda layak menjadi pendengar yang baik malah kehadiran individu seperti anda akan sentiasa dinanti-nanti oleh mereka yang dilanda masalah.
~Maafkan aku seandainya aku tidak mampu menjadi seorang pendengar yang baik disaat kalian memerlukan aku~

Abu Abdul Rahman
Madinah Munawwarah
30 April 2014 bersamaan 30 Jumadilthani 1435


Isnin, 28 April 2014

Mengejar Cinta: Yang Dikejar Tidak Dapat, Yang Di Depan Mata Dipersiakan


    Cinta Monyet merupakan sebuah fenonema yang sangat sinonim buat para remaja. Barangkali perasaan cinta muncul tatkala para remaja mahu merasai bagaimanakah rasanya menyayangi seseorang dan disayangi oleh seseorang. Perasaan itu tidaklah salah namun malangnya perasaan yg hadir itu seringkali disalahgunakan oleh mereka yang baru menginjak ke alam remaja.

       Penyalahgunaan tersebut telah menyebabkan mulanya sebuah episod cinta cintan-cintun yang bernama COUPLE. Mereka akan mencari pasangan masing-masing, menggelarkan diri sebagai pak we dan mak we atau balak dan awek,
Gadis Ibarat Mangsa kepada Singa rakus bernama Lelaki

saling menghubungi antara satu sama lain melalui pelbagai cara waima SMS, Calling2 (bergayut), Chatting2 dan sebagainya.. malangnya permulaan inilah yang telah menyebabkan sebahagian besar remaja akhirnya kecundang di penghujungnya ke dalam lembah maksiat bernama ZINA. Apabila si gadis
Dilema Seorang Gadis Terlanjur
mengandung, si jejaka pun melarikan diri daripada tanggungjawabnya sehingga akhirnya si gadis yg terpinga-pinga membunuh kandungan bayi dalam perutnya demi meleraikan kekusutan yg melanda.. 

Nauzubillah waiyyazubillahi minz zalik

    Sebagai seorang yg pernah melalui episod remaja, diri ini tidak terlepas daripada pengalaman bercinta monyet. Alkisah ini berlaku sewaktu aku menuntut di bangku persekolahan. Dikala itu, ramai teman sekolah sudah mula bercinta monyet. Akhirnya aku pun tewas dipengaruhi oleh mereka disekitarku. Namun, pengalaman bercintaku seringkali menemui episod kegagalan. Lagi aku mngejar gadis idaman hati, lagi kegagalan demi kegagalan yg daku temui. Muka yangg tidak kacak, perangai yang kebudak-budakan, tidak pandai akademik, tidak reti bersukan menjadi sebahagian asbab kepada kegagalanku dlm pencarian itu.. haha.

Cinta Bertepuk Sebelah Tangan

   Namun, ternyata kegagalan yang ku temui menyimpan seribu satu hikmah yang trsirat. Hikmah itu hanya tersingkap saat ayah kesayanganku kembali ke pangkuan Ilahi. Saat itu barunya aku tersedar daripada sebuah lena yang panjang. Barulah aku sedar bahawsanya sejak sekian lama sudah ada segolongan insan yang sudi membalas cintaku ini. Mereka yg bersedia menerimaku tanpa syarat. Mereka yang mnyayangiku dengan sepenuh jiwa raga mereka. Ketahuilah mereka yg dimaksudkan adalah ibuku dan 4 orang adik-beradikku..

     Malangnya, cinta yang mereka hulur kepadaku bagaikan sia-sia kerana saat itu aku lebih mendambakan cintaku dibalas oleh si gadis idaman hati. Ya Allah betapa naifnya aku disaat itu! Bahkan, kedatanganku ke rumah bagaikan sebuah episod bagi melepaskan segala kekusutan yang aku peroleh daripada sebuah penjara bernama sekolah! Kerapkali aku ditegur oleh ibuku akan perangaiku yang seringkali menjadikan rumah sebagai tempat melepaskan stress. Ibu selalu sebut sebuah hadith, 

" Orang yang paling baik adalah orang yang paling baik dengan keluarganya"..

Berbuatlah Baik Kepada KeluargaMu
    Ketika itu, aku banyak melebihkan kawan-kawanku atau lebih banyak berbuat baik dengan kawan-kawanku daripada keluargaku sendiri.

Sahabat-sahabat di Madinah

Di Madinah, aku telah dipertemukan oleh sahabat-sahabat yang mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan adik-beradik mereka. Mereka berkongsi kepadaku betapa manisnya ukhuwah yang terjalin sesama adik bradik sehingga mereka saling merindui antara satu sama lain. Rahsianya, apabila mereka bersama, mereka akan jadikan saat kebersamaan itu saat yg cukup indah yang akan dirindui bukan hanya kerana berjauhan. Jiwaku bagaikan disentap sedalam-dalamnya. Aku tidak ingat bilakah kali terakhir aku mewujudkan saat indah bersama ibu dan adik-adikku itu. Entah-entah tidak ada satu pun! Ya Allah, tiba2 aku teringat akan kata-kata seorang sahabatku,

 "What you gain is what you give"..

atau dalam erti kata lain,

“Sayangnya seseorang kepada kita dengan sepenuh hatinya bermula seandainya diri kita terlebih dahulu menyayangi orang lain dengan sepenuh hati kita”
Ya ampunkanlah dosa ibu dan ayahku, kasihanilah mereka kasihani kami sewaktu kami kecil.

Ampunilah dosaku wahai mak kerana tidak dapat menjadi anak yang baik selama ini, wahai adik-adiku ampunilah segala dosa abang kerana tidak dapat jadi abg yg baik untuk kalian..


Akhirkata,
"Seandainya aku tidak mampu menjadi seorang yang apabila matinya dirindui oleh mereka yg aku tinggalkan kerana kebaikan yg aku lakukan saat hidupku, maka janganlah aku jadikan diri aku seorang yang apabila matinya menjadi suatu kerehatan buat org lain kerana sewaktu hayatku dipenuhi dengan kebencian orang disekelilingku akibat perbuatan jahatku"


Abu Abdul Rahman
4 Jumadilakhir 1435 brsamaan 4 April 2014
Madinah Munawwarah

Sabtu, 26 April 2014

WAHABI=MADINAH: Mengubah Persepsi Umum


    
      Pelajar Madinah tidak kira yang masih belajar mahupun yang sudah tamatkan pengajian dri Madinah pastinya tidak akan terlepas daripada sebuah tohmahan
Wahabifobia
yang cukup masyhur iaitu WAHABI.

(Tidaklah saya akan ingin mengulas panjang lebar tentang Wahabi ini, harap dapat baca lebih lanjut di halaman lain)

    Saya akui bahawasanya acapkali mahupun sekali sekali mereka yang pernah atau berada di Madinah untuk tujuan menuntut ilmu melakukan kesilapan dari sudut pegangan manhajnya (baca pendekatan) mahupun cara penyampaian dakwah mereka kepada masyarakat. Sebahagian plajar madinah dilihat terlalu keras dalam penyampaian, jumud tidak tentu pasal, suka membid'ahkan orang, dan pelbagai lagi jenis tohmahan yang dilemparkan terhadap mereka..

Perangai Sebahagian Ustaz yang Keras Tidak Kena Tempat
    Eya, sebahagiannya begitu, namun sebahagian tidak.. malangnya sebahagiannya daripada kita apabila dengar sahaja ada orang yang berhajat untuk ke Madinah bagi tujuan menyambung pengajian dalam pengkhususan agama, maka datanglah segala persepsi buruk ke dalam benak fikiran mereka.. bahkan lebih parah lagi sebahagian daripada kita tidak membenarkan anak-anak, kawan-kawan , adik-adik kita ke Madinah hanya kerana Wahabifobia (takut akan bayang-bayang Wahabi).. Allahulmusta'an..

Universiti Islam Madinah


Barangkali kita lupa bahawasnya Nabi kita Muhammad (sollahuaalaihiwasalam) pernah hidup dan wafat di madinah! Tolak ketepi dahulu tentang Wahabi jika ingin belajar di Madinah.

Cuba tanamkan dalam fikiran kita bukankah kita akan pergi ke sebaik-baik tempat di dunia bernama Madinah.. tidakkah kalian penah terfikir untuk menuntut ilmu di sebuah tempat yang sebahagian wahyu Allah diturunkan? Di tempat junjungan besar mendidik sahabat sehingga menjadi seorang yang faham agama secara mendalam? Renungkanlah.

     Akhirkata, sebarang kritikan terhadap pelajar Madinah terutama saya adalah sangat dialu-alukan.. saya menafikan bahawasanya jiwa seorang pemuda yang sentiasa berkobar-kobar dalam sesuatu antara faktor yang menyebabkan dakwah itu tidak sampai kepada matkamat yang sebenarnya.. dalam bahasa mudah, “Nak cepat naik syeikh, habis segala jenis hukum setakat yang dia tahu dia sembur”  walaupun hakikatnya masih banyak ruang yang perlu dibahaskan
Pemuda Ibarat Kayu Api Yang Membara
dengan lebih lanjut.. mungkin inilah yang dimaksudkan oleh sebuah perkataan Arab iaitu syabbun iaitu pengertian asalnya membawa erti unggun kayu api dan sememangnya kayu api amat mudah terbakar, maka  begitulah juga jiwa pemuda yang sentiasa mudah terbakar (baca brkobar2).


 Abu Abdul Rahman
 Madinah Munawwarah
26 Jumadilawwal 1435 bersamaan 27 Mac 214 
Sebarang kritikan membina sangat dialu-alukan daripada pembaca yang dirahmati Allah.