Bila Tuhan Berbicara..

Bila Tuhan Berbicara..

Isnin, 2 Disember 2013

Turkestan: Hilangnya Sebuah Negara Muslimin


Pernah kalian mendengar nama sebuah negara bernama Turkestan?

Hmmm, macam tidak pernah je..kat mana tu? Ada ke di peta dunia?

Cuba tengok di peta dunia.

PETA DUNIA


Di peta dunia, ada negara Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Kyrgystan, Tajikistan, Afghanistan, Pakistan. Takde un negara Turkestan. Memang wujud ke negara ne??

Kedudukan Negara Turkestan


Negaranya ada dan penduduknya masih ada namun, malangnya peta negara tersebut telah dilenyapkan dari peta dunia semenjak penaklukan Turkistan oleh dua kuasa besar iaitu Kesatuan Soviet (kini Russia) dan China. Kedua-dua kuasa besar ini menjadikan ideologi Komunis sebagai ideologi negara mereka.

  Menurut seorang sahabat Turkestan, antara punca utama Russia dan China mahu menjadikan wilayah berdaulat Turkestan sebagai sebahagian wilayah jajahan adalah kerana kekayaan hasil minyak yang melimpah ruah yang terdapat di negeri Turkestan.

Logo Soviet Union

  Turkestan telah melalui satu siri peperangan yang panjang selama perebutan wilayah antara Russia dan China. Akhirnya pada tahun 1949, wilayah Turkistan telah ditawan oleh Kerajaan komunis pimpinan Mao Ze Dong dan nama Turkestan telah ditukar menjadi Xinjiang yang bermaksud Wilayah Baru.

   Rakyat Turkestan telah didiskriminasikan sejak puluhan tahun. Hak mereka untuk mendapatkan pendidikan dinafikan sama sekali. Kerajaan komunis China hanya membenarkan mereka menghabiskan pengajian di peringkat sekolah rendah sahaja. Kebanyakan para pelajar di Turkestan yang menyambung pelajaran di Universiti Islam Madinah tidak mempunyai sijil sekolah menengah. Nak mendapatkan sijil tersebut, mereka terpaksa membayar dengan jumlah yang tertentu daripada kerajaan China. Penubuhan sekolah agama mahupun ma'ahad tahfiz tidak dibenarkan sama sekali. Masjid sahaja dibenarkan. Muslim Turkestan mengadakan kelas pengajian agama mahupun kelas tahfiz secara "underground" dan kebiasaan ia diadakan di tempat bawah tanah bagi mengelakkan dikesan daripada pihak berkuasa.
Di wilayah Turkestan (kini Xinjiang), kelihatan polis dan tentera China berada dimana bertujuan untuk mengawal sebarang protes daripada rakyat Turkestan.

Peta China. Xinjiang (Baca Turkestan)

Tambahan pula, sekiranya Kerajaan China berjaya mengesan mana-mana pelajar Turkestan yang menyambung pengajian Islam di Universiti Islam Madinah, mereka akan terus ditangkap oleh pihak polis China dan terus dijatuhkan hukuman bunuh. Maka, ramai pelajar Turkestan tidak pulang ke China setelah menuntut di Madinah kerana dikhuatiri keselamatan nyawa diri dan ahli keluarga mereka terancam. Para pelajar Turkestan membawa isteri dan anak-anak mereka ke Madinah dan membina kehidupan mereka di rantau orang. Terdapat diantara pelajar Turkestan yang telah menetap lama di bumi Madinah sejak zaman pelajarnya sehingga dilantik menjadi Dekan Kuliah Hadith dan Pengajian Islam Universiti Islam Madinah.

Akhirkata, seorang rakan saya dari Turkestan berkata, "Keadaan ummat Islam di Turkestan menyamai keadaan ummat Islam yang ditindas di Palestin, namun malangnya penindasan dan kekejaman oleh rejim penguasa komunis China tidak diketahui secara meluas oleh umat Islam di seluruh dunia"

Bendera Turkestan


Ya Allah, bantulah saudara2 seaqidah kami di Turkestan, kurniakanlah mereka ketabahan dalam menghadapi penindasan demi penindasan yang menimpa mereka oleh regim komunis China, hancurkanlah rejim China taghut yang sentiasa berbuat zalim terhadap umat Islam di Turkistan khasnya dan di China umumnya"

Jumaat, 22 November 2013

Haji: Mencari Redha Allah 3



SIRI 3-
Catatan 11 Oktober 2013M/6 Zulhijjah 1434H (Jumaat)

 Keberangkatan kami ke Makkah.

Kursus haji sudah, taklimat haji pun selesai, barang-barang semuanya sudah dikemas. Hanya tinggal bertolak ke Makkah.

Tit Tit Tit.. kiriman mesej masuk ke ruangan inbox telefon.

“Wahai saudaraku, kita akan bermusafir ke Makkah pada hari ini bersama hamlah (rombongan) Bashair Iman. Anda dikehendaki berkumpul        di masjid al-Hijrah tepat jam lima petang- al-Hajj (pengirim mesej)”

SYARIKAT BASHAIR ALIMAN UNTUK HAJI DAN UMRAH


 Akhirnya, saat yang telah dinanti-nantikan sejak sekian lama telah tiba. Hati terasa begitu berdebar-debar. Masakan tidak, pada hari ini, kami akan berangkat ke Makkah Mukarramah bagi menunaikan rukun Islam yang kelima. Bahkan, kami merupakan rombongan pertama yang berangkat ke Makkah. Alhamdulillah, sungguh tidak tergambar kegembiraan kami ketika itu.

Namun, kegembiraan kami tidak kekal lama. Kami telah dimaklumkan  oleh pihak syarikat menerusi SMS bahawa masa bertolak telah diubah kepada jam 9 malam kerana kelewatan bas. Allahul Musta’an.

Jam 9 malam, semua pelajar telah sedia berkumpul di dataran Masjid Al-Hijrah seusai solat Isya’ berjemaah. Kami berkumpul mengikut kumpulan yang ditetapkan dan diketuai oleh seorang munasik (ketua kumpulan).


Para Pelajar Berkumpul Di Masjid Al-Hijrah


Jam di tangan menunjukkan pukul 9.45p.m namun kelibat bas masih tidak kelihatan. 10 minit, 20 minit, 30 minit, 40minit, 50 minit. Akhirnya setelah dua jam menunggu, bas sampai. 

Namun, penantian selama 2 jam tersebut hanya sia-sia. Apabila semua pelajar telah mengambil duduk masing-masing, tiba-tiba musyrif (guru pengiring) mengarahkan para pelajar untuk turun dari bas. Masing-masing berpandangan sesama sendiri kerana kehairanan akan arahan yang pelik itu. Rupa-rupanya, para pemandu bas kepenatan. Mereka mahu berehat malam itu setelah memandu jauh dari Makkah. Pemandu bas kata kami akan bertolak keesokan harinya usai solat Subuh.

Allahul Musta’an, sudahlah kami kena menunggu kedatangan bas dua jam lewat daripada masa yang dijanjikan, apabila bas sampai, tidak jadi pula untuk bertolak malam tersebut. Alasan mereka Penat! Perasaan bercampur baur antara geram, marah, sedih. Begitulah perangai orang Arab, sukar dijangka. Suka buat keputusan sendiri tanpa mengira perasaan orang lain. Tidak ada apa yang boleh dilakukan melainkan redha dengan kejadian yang menimpa. Bukankah kita hanya mampu merancang, namun Allah jualah yang menentukannya??



Catatan 12 Oktober 2013M/7 Zulhijjah 1434H (Sabtu)

 Jam 8.45 a.m, bermulanya permusafiran kami ke Makkah bagi melaksanakan Haji. Setiap pelajar telah siap dengan pakaian ihram di badan sebelum memulakan perjalanan kerana kami telah dimaklumkan bahawasanya bas tidak akan berhenti singgah di masjid Zulhulaifah (tempat niat Ihram). Sewaktu dalam bas, salah seorang musyrif Misri (Mesir) mengingatkan kami tentang niat ihram sewaktu bas melintasi kawasan miqat nanti. Beliau juga mengingatkan kami agar memutuskan jenis haji yang bakal kami laksanakan sama ada  Haji Ifrad, Tamattu’ mahupun Qiran sebelum sampai ke kawasan miqat.

Masjid Zulhulaifah (Miqat Ahli Madinah)


(Miqat adalah tempat berniat ihram untuk jemaah Haji. Niat melaksanakan Haji adalah rukun Haji, seandainya tidak melaksanakan niat Haji, maka hajinya terbatal manakala berniat ihram di Miqat merupakan wajib haji, sekiranya tidak berniat Ihram di Miqat, maka jemaah haji dikekehendaki membayar dam-denda. Zulhulaifah merupakan miqat bagi penduduk Madinah atau bagi mana-mana jemaah haji yang berangkat ke Makkah dari atau melalui Madinah. Zulhulaifah terletak sejauh 450km dari Makkah. Kini, ia dikenali sebagai Bir Ali)




Maksud hadith:

"Diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas -semoga Allah redha akan kedua-duanya-, beliau berkata bahawasanya Rasulullah sallahualaihiwasalam telah menetapkan bahawa untuk penduduk Madinah (tempat berniat ihramnya) di Zulhulaifah, bagi penduduk Syam tempatnya di Al-Juhfah, bagi penduduk Najd tempatnya di Qarn Manazil, bagi penduduk Yaman di Yallamlam. Maka sesungguhnya tempat-tempat yang disebutkan adalah (tempat miqat) bagi penduduk tempat tersebut serta (tempat miqat) bagi sesiapa yang melalui kawasan tersebut dengan tujuan bagi mengerjakan ibadah Haji dan Umrah..

Musyrif tersebut menerangkan kami bahawasanya pelaksanaan niat bagi mengerjakan Haji hendaklah dilafazkan secara jahar (kuat). Ia sedikit berbeza dengan niat amalan-amalan yang lain. Niat dalam hati sudah memadai bagi melaksanakan ibadah kecuali ibadah haji kerana niat haji perlu dilafazkan secara jahar.