Bila Tuhan Berbicara..

Bila Tuhan Berbicara..

Jumaat, 22 November 2013

Haji: Mencari Redha Allah 3



SIRI 3-
Catatan 11 Oktober 2013M/6 Zulhijjah 1434H (Jumaat)

 Keberangkatan kami ke Makkah.

Kursus haji sudah, taklimat haji pun selesai, barang-barang semuanya sudah dikemas. Hanya tinggal bertolak ke Makkah.

Tit Tit Tit.. kiriman mesej masuk ke ruangan inbox telefon.

“Wahai saudaraku, kita akan bermusafir ke Makkah pada hari ini bersama hamlah (rombongan) Bashair Iman. Anda dikehendaki berkumpul        di masjid al-Hijrah tepat jam lima petang- al-Hajj (pengirim mesej)”

SYARIKAT BASHAIR ALIMAN UNTUK HAJI DAN UMRAH


 Akhirnya, saat yang telah dinanti-nantikan sejak sekian lama telah tiba. Hati terasa begitu berdebar-debar. Masakan tidak, pada hari ini, kami akan berangkat ke Makkah Mukarramah bagi menunaikan rukun Islam yang kelima. Bahkan, kami merupakan rombongan pertama yang berangkat ke Makkah. Alhamdulillah, sungguh tidak tergambar kegembiraan kami ketika itu.

Namun, kegembiraan kami tidak kekal lama. Kami telah dimaklumkan  oleh pihak syarikat menerusi SMS bahawa masa bertolak telah diubah kepada jam 9 malam kerana kelewatan bas. Allahul Musta’an.

Jam 9 malam, semua pelajar telah sedia berkumpul di dataran Masjid Al-Hijrah seusai solat Isya’ berjemaah. Kami berkumpul mengikut kumpulan yang ditetapkan dan diketuai oleh seorang munasik (ketua kumpulan).


Para Pelajar Berkumpul Di Masjid Al-Hijrah


Jam di tangan menunjukkan pukul 9.45p.m namun kelibat bas masih tidak kelihatan. 10 minit, 20 minit, 30 minit, 40minit, 50 minit. Akhirnya setelah dua jam menunggu, bas sampai. 

Namun, penantian selama 2 jam tersebut hanya sia-sia. Apabila semua pelajar telah mengambil duduk masing-masing, tiba-tiba musyrif (guru pengiring) mengarahkan para pelajar untuk turun dari bas. Masing-masing berpandangan sesama sendiri kerana kehairanan akan arahan yang pelik itu. Rupa-rupanya, para pemandu bas kepenatan. Mereka mahu berehat malam itu setelah memandu jauh dari Makkah. Pemandu bas kata kami akan bertolak keesokan harinya usai solat Subuh.

Allahul Musta’an, sudahlah kami kena menunggu kedatangan bas dua jam lewat daripada masa yang dijanjikan, apabila bas sampai, tidak jadi pula untuk bertolak malam tersebut. Alasan mereka Penat! Perasaan bercampur baur antara geram, marah, sedih. Begitulah perangai orang Arab, sukar dijangka. Suka buat keputusan sendiri tanpa mengira perasaan orang lain. Tidak ada apa yang boleh dilakukan melainkan redha dengan kejadian yang menimpa. Bukankah kita hanya mampu merancang, namun Allah jualah yang menentukannya??



Catatan 12 Oktober 2013M/7 Zulhijjah 1434H (Sabtu)

 Jam 8.45 a.m, bermulanya permusafiran kami ke Makkah bagi melaksanakan Haji. Setiap pelajar telah siap dengan pakaian ihram di badan sebelum memulakan perjalanan kerana kami telah dimaklumkan bahawasanya bas tidak akan berhenti singgah di masjid Zulhulaifah (tempat niat Ihram). Sewaktu dalam bas, salah seorang musyrif Misri (Mesir) mengingatkan kami tentang niat ihram sewaktu bas melintasi kawasan miqat nanti. Beliau juga mengingatkan kami agar memutuskan jenis haji yang bakal kami laksanakan sama ada  Haji Ifrad, Tamattu’ mahupun Qiran sebelum sampai ke kawasan miqat.

Masjid Zulhulaifah (Miqat Ahli Madinah)


(Miqat adalah tempat berniat ihram untuk jemaah Haji. Niat melaksanakan Haji adalah rukun Haji, seandainya tidak melaksanakan niat Haji, maka hajinya terbatal manakala berniat ihram di Miqat merupakan wajib haji, sekiranya tidak berniat Ihram di Miqat, maka jemaah haji dikekehendaki membayar dam-denda. Zulhulaifah merupakan miqat bagi penduduk Madinah atau bagi mana-mana jemaah haji yang berangkat ke Makkah dari atau melalui Madinah. Zulhulaifah terletak sejauh 450km dari Makkah. Kini, ia dikenali sebagai Bir Ali)




Maksud hadith:

"Diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas -semoga Allah redha akan kedua-duanya-, beliau berkata bahawasanya Rasulullah sallahualaihiwasalam telah menetapkan bahawa untuk penduduk Madinah (tempat berniat ihramnya) di Zulhulaifah, bagi penduduk Syam tempatnya di Al-Juhfah, bagi penduduk Najd tempatnya di Qarn Manazil, bagi penduduk Yaman di Yallamlam. Maka sesungguhnya tempat-tempat yang disebutkan adalah (tempat miqat) bagi penduduk tempat tersebut serta (tempat miqat) bagi sesiapa yang melalui kawasan tersebut dengan tujuan bagi mengerjakan ibadah Haji dan Umrah..

Musyrif tersebut menerangkan kami bahawasanya pelaksanaan niat bagi mengerjakan Haji hendaklah dilafazkan secara jahar (kuat). Ia sedikit berbeza dengan niat amalan-amalan yang lain. Niat dalam hati sudah memadai bagi melaksanakan ibadah kecuali ibadah haji kerana niat haji perlu dilafazkan secara jahar.