Bila Tuhan Berbicara..

Bila Tuhan Berbicara..

Ahad, 13 Julai 2014

Mempelajari Bahasa Arab: Suatu Keperluan Atau Sebaliknya??




    Ketika berlangsungnya kelas bahasa Arab, ustazah bertanya kepada anak muridnya,

Kenapa kita kena belajar bahasa Arab ya murid-murid. Siapa tahu?”

Maka,seorang demi seorang anak muridnya menjawab,

Bahasa Arab Bahasa Al-Quran

“Bahasa Arab itu bahasa al-Quran ustazah”
“ Nanti kita di syurga kita bercakap Arab kan ustazah?”
“ Nabi Muhammad orang Arab, jadi dia mesti cakap Arab kan kan..kan..”


  Ustazah hanya tersenyum melihat telatah anak-anak muridnya. Telatah mereka tidak ubah seperti Upin dan Ipin serta rakan-rakan sekelas mereka semasa di dalam bilik darjah.


Upin Dan Ipin Dalam Kelas

“Pandai anak murid ustazah bagi jawapannya. Ini yang buat ustazah makin sayang ini”

Bahasa Arab Kunci Ilmu Agama


Kunci Ilmu 

   Ilmu Syariat Islam terdiri daripada tiga cabang  iaitu Ilmu Fiqh iaitu yang berkaitan hukum-hakam perbuatan seharian manusia, ilmu Aqidah iaitu berkaitan kepercayaan manusia kepada Allah, dan ketiga ilmu Akhlak iaitu ilmu yang menyentuh berkenaan pembinaan keperibadian yang mulia. Al-Quran yang merupakan Kalamullah serta Hadith yang merupakan setiap perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat luaran mahupun dalaman yang disandarkan kepada Nabi Muhammad sollahualaihi wasalam merupakan dua rujukan utama umat Islam (selain Qiyas dan Ijma’ Ulama’) dalam memahami agama Islam. Namun bagi memahami segala isi-isi kandungan yang terdapat dalam Al-Quran dan Hadith, setiap Muslim perlu memahami dan menguasai Bahasa Arab terlebih dahulu. Hal ini sedemikian kerana bahasa pengantar yang digunakan pakai dalam Al-Quran adalah bahasa Arab malah Nabi Muhammad yang merupakan utusan Allah yang terakhir dilahirkan dalam kalangan bangsa Arab di Makkah.

Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran dlm bahasa Arab, moga-moga kalian berfikir

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah pernah berkata bahawasanya adalah menjadi suatu kewajipan bagi setiap muslim untuk menguasai bahasa Arab dalam memahami agama Islam. Beliau menggunapakai satu kaedah Ushol Fiqh bagi menyokong hujahnya iaitu,



"Maka sesungguhnya Bahasa Arab itu sendiri merupakan sebahagian daripada syiar agama Islam, mengetahuinya merupakan fardu yang wajib. Oleh yang demikian, memahami Al-Quran dan As-Sunnah merupakan fardhu, tidak mungkin seseorang itu mampu memahaminya melainkan dengan memahami Bahasa Arab. Apa-apa yang tidak menyempurnakan kewajipan melainkan dengannya, maka ia adalah wajib."

  Syeikh mahu menerangkan kepada kita bahawa pemahaman seseorang individu muslim terhadap agama Islam sesekali tidak akan sempurna melainkan dengan pemahaman dan penguasaan bahasaa Arab, maka atas sebab itu, pemahaman dan penguasaan Bahasa Arab telah mejadi wajib bagi individu yang mahu mendalami ilmu agama Islam seperti Usuluddin, Syariah, Quran dan Sunnah.
   Oleh itu, kuasailah ilmu Bahasa Arab terlebih dahulu sebelum anda mahu mendalami ilmu agama Islam yang lain kerana ilmu bahasa Arab ibarat kunci kepada pemahaman agama Islam.

Bahasa Arab: Adakah Ia Suatu Keutamaan


    Seorang lelaki yang berumur 60-an mengadu kepada seorang ustaz sewaktu dalam suatu majlis ceramah yang dianjurkan  oleh sebuah surau di Gombak,

“ Ustaz, umur pakcik dah 60 lebih. Dah nak dekat 70 dah pun. Pakcik memang berhajat sangat mahu tahu ilmu agama dengan lebih mendalam. Tapi bila ustaz sebut tadi kita wajib belajar ilmu bahasa Arab dahulu, terkeletar lutut pakcik. Maklumlah pakcik dah tua, kalau pakcik nak belajar bahasa Arab dahulu, lambat lagila pakcik nak belajar ilmu agama lain. Makin tua, makin lambat nak tangkap apa yang ustaz ajar. Silap hari bulan, pakcik mati dulu sebelum pakcik sempat habis belajar bahasa Arab.. jadi macamna ustaz, tak kan ada discount sikit untuk pakcik tua ini?

  Ustaz tersebut terdiam lalu berfikir sejenak. Lalu ustaz tersebut menceitakan tentang pandangan almarhum Prof. Dr. Hamka dalam isu ini. Ustaz itu berkata,

Prof. Dr. Haji Abdul Karim Amrullah a.k.a HAMKA

“ Buya HAMKA pernah membuat sebuah anologi tentang peringkat umur manusia. Beliau membahagikan peringkat umur manusia mengikut 3 waktu waktu yang disebut dalam AL-Quran iaitu, Dhuha, Asr dan alLail. Lalu menerangkan bahawa AdDhuha (waktu solat dhuha) ibarat umur manusia sewaktu masih kecil,  Ashar (waktu solat ashar) seperti usia dewasa, Al-Lail (waktu malam) ibarat usia tua. Maka Buya menyebut bahawa setiap manusia yang berhasrat mendalami agama hendaklah mempelajari ilmu-ilmu agama mengikut kategori usianya. Sebagai contoh, individu yang berusia seperti AdDhuha boleh
Belajar Ilmu Mengikut kategori Umur
mempelajari ilmu bahasa Arab terlebih dahulu sebelum berpindah kepada Fiqh, hadith. Adapun mereka yang berusia Ashar, mereka boleh mempelajari ilmu Feqh, hadith , tafsir tanpa perlu mendalami ilmu bahasa Arab, manakala bagi mereka yang sudah berusia alLail, maka seharusnya mereka menumpukan masa dalam mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan ibadah seperti solat, ilmu tajwid, tatacara wudhu’, sedekah, puasa dan sebagainya.

     Begitulah analogi ringkas yang dibuat oleh Prof. Hamka sebagai suatu jawapan bagi persoalan yang seringkali menghantui masyarakat berkenaan keutamaan dalam memahami ilmu agama Islam, iaitu apakah perlu belajar bahasa Arab terlebih dahulu atau boleh belajar ilmu agama serentak dengan bahasa Arab atau belajar ilmu agama tanpa belajar bahasa Arab. Alhamdulillah analogi ringkas yang oleh Buya Hamka merupakan jawapan yang tepat dan padat.

     Semoga tulisan kali ini ada manfaatnya buat para pembaca. Segala salah dan silap dalam tulisan ini mohon ditegur oleh pihak pembaca. Saya menyeru kepada semua khasnya buat diri saya sendiri agar kita terus-menerus menuntut ilmu agama kerana ilmu agama Islam amat luas dan adalah tidak wajar untuk kita berasa memadai dengan belajar asas-asas fardhu a’in yang hanya meliputi perkara-perkara ibadat  seperti solat, puasa, haji, zakat, baca al-Quran bahkan Islam itu meliputi segenap penjuru kehidupan manusia dari sebesar-besar perkara seperti penubuhan Negara dan Kerajaan Islam sehinggalah ke sekecil-kecil perkara seperti membasuh air kencing dan berak. Sekian daripada saya,


Abu Abdul Rahman,
Isnin
14 Julai 2014M bersamaan 16 Ramadhan 1435H

Gombak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan