Rintihan Sang Mahasiswa Universiti
Menjadi seorang yang bergelar Mahasiswa merupakan satu
pencapaian yang sangat dinanti-nantikan. Usaha demi usaha dari tahun ke tahun ketika
di bangku sekolah telah membuahkan hasilnya apabila diterima untuk menyambung
pengajian di menara gading sama ada dalam negeri mahupun luar negeri.
Gerbang Universiti Menjadi Saksi Saat Melangkahnya Seorang Mahasiswa |
Namun, alangkah sedihnya hati ini tatkala mendengar rintihan, rungutan, dan luahan
perasaan yang terbit dari mulut sang mahasiswa universiti kebelakangan ini.
Antaranya, rintihan yang seringkali kedengaran adalah seperti berikut:
“Bro, ak nak habes blaja cepatla..nak kahwin bro..xsabar
dah nie..membe gua sume suda kawen ma”
“Syeikh, ana nak habes blaja cepat-cepat, umur dah makin
lanjut… otak makin slow, semangat belajar pun makin takde…”
“Jealous kot ak tgk membe-membe sume dah grade awal… umur
muda trang tang-tang 21, 22 dah ad degree… nie aku nie umor 21 baru nak amik
degree..eish, tension seyhhh”
“Ak bukan pe nak habeih cepat nie, nak keje cepat, ada
income sendiri..baru bole beli macam-macam”
“Kite nak habes blaja cepat… lau lmbt habes, PTPTN makin
mahal nanti!”
Bebanan Mahasiswa |
Ini adalah sebahagian luahan yang mampu dicatat… Seandainya
mahu dicatat semua, nescaya tulisan kali ini tidak dapat habis ditulis.
Barangkali ini adalah ekspresi anak muda. Sesungguhnya
anak muda memang terkenal dengan sikapnya yang sentiasa terburu-buru dalam
mengejar sesuatu yang ingin mereka capai. Demi mendapatkan segulung Ijazah
dalam tempoh singkat, segala cara dilaksanakan untuk merealisasikan hasrat
tersebut.
Assignment di“copypaste” dari Internet, tugasan kumpulan diserahkan
kepada individu tertentu sedangkan dirinya “menumpang” sahaja, sering kali
memonteng kelas pengajian, menghabiskan masa dengan bermain “Video Game” dan ber
“Facebook”, meniru dalam peperiksaan dan pelbagai lagi. Natijahnya, ramai graduan
universiti yang dihasilkan namun malangnya golongan ini jugalah yang mencatat
pengangguran yang tinggi di Malaysia.
Tolong kami...bantu kami...graduan universiti xde keje |
Mutiara Kata Seorang Guru
Pada musim cuti semester yang lalu, penulis menziarahi
seorang pensyarah Bahasa Arab, Prof. Madya Dr. Solehah Yaakob di UIAM. Beliau
merupakan seorang pensyarah yang sangat dedikasi dalam mendidik para pelajarnya.
Dalam kesempatan itu, penulis telah mengadu kepada beliau tentang perjalanan
pengajian penulis dalam alam universiti yang panjang.
Guru Jasamu Dikenang |
Penulis: Assalamualaikum, ustazah..ustazah apa khabar?
Sihat ke?
Prof. Madya: Alhamdulillah, ustazah baik-baik aje…Insya-Allah..bagaimana
belajar? Ok ke?
Penulis: Alhamdulillah, baik Insya-Allah..Allah jua
yang mempermudah segala urusan di samping berkat doa ibu, keluarga dan para
guru. Ustazah, sebenarnya saya ada sesuatu nak berkongsi dengan ustazah, boleh
ke?
Prof. Madya: Silakan berkongsi. Ustazah bersedia
mendengarnya, Insya-Allah.
Penulis: Begini ustazah. Saya ingin mengadu tentang
perjalanan belajar saya. Saya lihat orang lain senang dan cepat je perjalanan belajar
mereka. Umur 22 sudah menggenggam segulung Ijazah di tangan bahkan ada
sebahagian mereka yang sudah mula melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana
(Master). Saya pula ustazah, setelah tamat periksa SPM, saya
sambung belajar
tingkatan 6 STAM selama 1 tahun, setelah selesai pengajian tingkatan 6, saya
sambung belajar di UIA Gombak. Di UIA, saya menghabiskan masa selama setahun di
Pusat Bahasa, UIA. Alhamdulillah, seusainya pengajian di pusat bahasa UIA, saya
diterima sebagai pelajar di Universiti Islam Madinah. Namun, di Madinah, saya
perlu menghabiskan kelas persediaan bahasa Arab selama 1 tahun, 6 bulan. Dua
kali saya masuk pusat bahasa, ustazah. Puas saya
belajar di Pusat Bahasa.
Apabila selesai Pusat Bahasa, masih berbaki 4 tahun pengajian untuk ijazah
sarjana muda. Sekarang umur saya telah mencecah 21 tahun namun saya masih dalam
keadaan bertatih-tatih untuk masuk ke kuliah bagi menyelesaikan pengajian
peringkat Ijazah Sarjana Muda. Sering kali jiwa dan emosi saya terusik tatkala
memikirkan perkara ini. Umur yang semakin menginjak dewasa di samping rakan-rakan
yang menghabiskan pengajian dalam masa terdekat sangat menghambat perasaan saya
tatkala ini.
STAM di SAMTSH, suatu kenangan |
CELPAD (PUSAT BAHASA IIUM) |
Kuliah Syariah Universiti Islam Madinah |
Prof. Madya: Ustazah memahami akan masalah yang Fathi
alami sekarang. Benar, sebagai seorang yang pernah melalui zaman belajar di
universiti, ustazah pernah mengalami pengalaman yang sama. Sewaktu ustazah
melanjutkan pengajian ke peringkat Ph.D, ustazah telah menghabiskan masa selama
5 tahun bagi menyiapkan tesis. Jangka masa ini merupakan suatu
yang luar dari
kebiasaan daripada sebahagian besar pelajar Ph.D yang berjaya menghabiskan
pengajian mereka dalam jangka masa 4 tahun. Namun, ustazah tidak mengambil
kisah sangat tentang itu kerana ustazah berpandangan, biarpun pengajian itu
memakan masa yang lama namun hasilnya memberangsangkan. Tambahan pula, tajuk
tesis ustazah adalah mengenai kritikan terhadap pemikiran nahu (tatabahasa) Arab
yang merupakan satu kajian yang berat dan susah.
Tesis PhD |
Penulis: Owh, ustazah pernah mengalami pengalaman yang
sama..
Prof. Madya: Eya Fathi. Ustazah ingin membuat
kesimpulan dalam satu bentuk analogi. Ustazah ambil contoh sebutir berlian.
Kita maklum bahawa berlian ini merupakan batu yang dijadikan sebagai barang
perhiasan. Harga sebutir berlian sangat mahal. Dikatakan harga sebutir berlian
boleh
mencecah sehingga berjuta-juta ringgit. Tambahan pula, harga berlian
berbeza mengikut kategori dan jenisnya. Persoalannya, mengapakah terdapat
perbezaan harga bagi setiap jenis berlian? Harga setiap berlian berbeza kerana
kualiti sebutir berlian diukur melalui sedalam mana sebutir digali dan dijumpai
dalam tanah. Semakin dalam tanah yang digali, semakin mahal harga berlian
tersebut. Begitu juga dalam kehidupan seorang insan, semakin lama dia mengembara
dalam menuntut ilmu, semakin meningkat kualitinya sebagai manusia. Biar kita
mengambil masa yang lama bagi menghabiskan pengajian kerana setiap proses yang
kita lalui akan menjadikan kita lebih matang dan berhikmah (wisdom).
Berlian |
Penulis: MashaAllah, indah sekali analogi ustazah.
Semangat yang luntur
bagaikan “dicaj” semula setelah mendengar nasihat ustazah.
Jazakillah khairan kathira ustazah..Insya-Allah, kita berjumpa lagi pada masa
akan datang. Assalamualaikum.
YAhoo..Semangat Baru!! |
Prof. Madya: Insya-Allah, waiyyak. Waalaikumussalam.
Renungilah analogi sebutir berlian itu.. Moga diperoleh
mesej yang tersirat dan tersurat di sebalik sebuah analogi
Sejarah Berulang
Pertemuan penulis dengan Dr. Solehah bagaikan menyuntik
nafas baru dalam menghadapi hari-hari yang mendatang. Benar, tempoh pengajianku
masih berbaki 4 tahun lagi. Namun, seandainya tempoh 4 tahun ini digunakan sebaiknya
untuk menuntut ilmu, maka masa bagaikan berlalu dengan pantas. Pejam celik,
4tahun sudah berakhir dan segulung ijazah berada di genggaman tangan,
InshaAllah.
Pertemuan
penulis dengan Dr. Solehah mengingatkan diri ini kepada kisah kehidupan yang
pernah diceritakan oleh ibuku. Ia merupakan sebuah pengalaman peribadi yang
dialami oleh ibu penulis sewaktu bergelar pelajar. Ibuku
menghabiskan waktu belajar dengan serba kepayahan dan kekurangan.
Kisah Silam Ibu
Ibuku merupakan bekas penuntut di Sekolah Menengah Teknik
Ipoh (kini dikenali sebagai Kolej Vokasional Ipoh) yang terletak bersebelahan
Sekolah Menengah Agama Izzuddin Ipoh (sekolah agama milik kerajaan negeri yang
masyhur di Perak). Berpeluang belajar di salah sebuah sekolah berasrama yang
berprestij pastinya menjanjikan masa depan yang cerah untuk para penuntutnya.
Namun, perkara yang sebaliknya menimpa ibuku serta rakan2 sepengajiannya. Pada
tahun 1979, mencatatkan sejarah yang tidak akan dilupakan oleh sebahagian besar
penuntut berbangsa Melayu di SMT
Ipoh. Ramai dalam kalangan mereka tidak
memperolehi keputusan cemerlang dalam
peperiksaan MCE (kini SPM) malah ada yang gagal. Hal ini memeranjatkan banyak
pihak walhal pada tahun-tahun sebelumnya sebahagian besar penuntut Melayu di
sekolah tersebut memperoleh keputusan yang amat memberangsangkan sehingga
melayakkan mereka menyambung pengajian ke luar negara dengan tajaan biasiswa
kerajaan. Antara
keluaran SMT Ipoh yang terpilih untuk belajar di luar negara
(UK) adalah Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang merupakan mantan
Menteri Besar Perak.
SMT Ipoh, Perak |
Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar |
Persoalannya apakah punca kegagalan “beramai-ramai”
penuntut Melayu pada tahun 1979 walhal pada tahun sebelumnya rekod
kecemerlangan sekolah dipegang oleh para penuntut Melayu??
Menurut ibuku, kegagalan itu berpunca daripada sikap
segelintir guru berbangsa Cina yang mengamalkan budaya perkauman, berat sebelah
dalam mengajar anak muridnya. Pada zaman itu, kebanyakan guru-guru yang
mengajar subjek Sains seperti Kimia dan Fizik terdiri daripada mereka yang
berbangsa Cina manakala guru Melayu rata-rata mengajar subjek Kesusteraan
seperti Bahasa Melayu dan Sejarah. Sikap perkauman masih menebal dalam kalangan
guru Cina masih menebal pada waktu itu. Keadaan ini telah menimbulkan suatu
kesulitan terhadap penuntut Melayu.
Dalam bilik darjah, guru Kimia dan Fizik
yang berbangsa Cina itu hanya memberi perhatian kepada penuntut Cina manakala
penuntut Melayu dipinggirkan. Jika guru2 tersebut mengadakan kelas tuisyen,
hanya pelajar Cina yang diundang manakala pelajar Melayu dibiarkan
terkontang-kanting tanpa bimbingan guru. Kemuncak apabial guru Fizik dan Kimia
itu mengedarkan koleksi soalan2 bocor bagi peperiksaan sebenar SPM yang bakal
ditempuh kepada para pelajar Cina. Para pelajar Melayu tidak mampu berbuat apa
bagi mengekang “agenda jahat” itu.
Fizik & Kimia |
Ketika keputusan SPM diumumkan, para pelajar Cina
melompat-lompat keriangan kerana memperoleh keputusan yang memberangsangkan.
Adapun para pelajar Melayu hanya mampu tunduk, termenung memikirkan
keputusan
peperiksaan mereka. Laluan kemasukan ke universiti pastinya sukar dengan
keputusan SPM yang tidak seberapa. Masa depan mereka bagaikan kelam, tiada
harapan untuk maju ke hadapan. Pelajar Melayu bagaikan hilang arah tujuan
hidup. Harapan menggunung tinggi bagi merangkul sebuah kejayaan berakhir dengan
sebuah kesedihan, kepedihan dek kegagalan yang sudah diatur begitu rapi oleh
sang guru yang tidak berperikemanusiaan.
Apalah masa depan kami.. |
Namun, kegagalan tersebut bukanlah suatu pengakhiran,
malah ia merupakan permulaan kepada suatu dimensi kehidupan baru. Keputusan MCE
itu tidak sedikit pun melunturkan semangat ibuku untuk meneruskan pengajian ke
peringkat lebih tinggi. Bagi merealisasikan hasratnya, beliau telah mengembara
ke kota raya Kuala Lumpur dan mendaftarkan diri sebagai pelajar STPM di sebuah
sekolah swasta yang dikenali sebagai Yayasan Anda di Lembah Pantai, Kuala
Lumpur.
Latar Belakang
Yayasan Anda
Yayasan Anda Akademik merupakan sebuah institusi
pendidikan swasta yang telah diasaskan oleh sekumpulan siswazah
universiti-universiti tempatan yang dipelopori oleh YB Sdr Anwar Ibrahim
(ketika itu sebagai
penuntut di Universiti Malaya) bersama lima orang rakannya,
Kamaruddin Mohamed Noor, Ismail Mina Ahmad, Osman Bakar, Mohd Zaki Abdul Rahman
dan Ahmad Fakri Abdullah di No-A1-2, Bangunan UDA, Jalan Pantai Baru, Kuala
Lumpur pada bulan Mac 1971.Penubuhan institusi ini antara lainnya
untuk menyediakan peluang belajar kepada pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan yang tidak bernasib
baik untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Dato' Seri Anwar Ibrahim |
Sebagai satu
institusi yang mempunyai faslsafah pendidikan yang tersendiri, maka semua
aktiviti kurikulam dan kokurikulam digembelingkan ke arah melahirkan seorang
insan yang akademis dan bertaqwa. Sesuai dengan motto penubuhannya yang
berusaha untuk memberikan pendidikan di segenap peringkat lapisan masyarakat
terutama di kalangan mereka yang berpendapatan rendah, maka sudah pasti YAA
bertindak dengan mengenakan yuran
pengajian yang paling minimum, tetapi mutu pendidikan yang disediakan sudah
teruji keberkesanannya. Tenaga pengajarnya juga terdiri daripada guru-guru yang
pakar dan berpengalaman dalam bidang masing-masing yang diundang khas daripada
Universiti Malaya.
Universiti Malaya |
Sambutan masyarakat
terhadap institusi ini amatlah menggalakkan. Suatu yang perlu dibanggakan ialah
institusi ini telah berjaya mencapai objektif penubuhannya iaitu dengan
bertambahnya bilangan bekas lulusannya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke
pusat-pusat pengajian tinggi tempatan dan luar negeri. Tidak syak lagi bahwa
kejayaan-kejayaan yang dicapai sama ada di bidang akdemik
atau kerohanian di masa yang lalu, adalah hasil dari beberapa program yang
telah dirancang dan dijayakan dengan amat berkesan. Di antara program yang
dipercayai telah membantu YAA dikenali ramai ialah dengan lawatan-lawatan sambil belajar yang telah
dianjurkan di masa lalu.
Kini, Yayasan Anda hanya
tinggal pada namanya kerana bangunan tersebut telah dirobohkan bagi tujuan
pembangunan komersial.
(Sumber: Wikipedia Edisi Bahasa Melayu)
Ibu telah
menggunakan peluang tersebut dengan belajar bersungguh-bersungguh bagi meraih
kejayaan dalam STPM nanti. Para guru Yayasan Anda begitu berdedikasi dalam
mendidik anak muridnya menjadi pemangkin semangat buat ibu dan rakan2nya.
Natijahnya, ibuku telah memperoleh keputusan yang memberangsangkan dalam
peperiksaan STPM iaitu 3 prinsipal dengan kepujian. Dengan keputusan itu, ibu
terpilih untuk menyambung pengajiannya di Institut Teknologi Mara, Shah Alam
(Kini Universiti Teknologi Mara-UiTM) dalam bidang Sains Kepustakaan. Namun,
laluan itu tersebut ternyata sukar. Ibuku terpaksa bekerja sambilan bagi
membiayai pengajiannya di ITM. Pelbagai kerja yang beliau lakukan bagi
mendapatkan duit seperti menjaga anak2 orang di Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI) di bawah selian Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), bekerja sebagai kerani
di perpustakaan UIA (kampus Petaling Jaya) dan menjadi sukarelawan ABIM. Sewaktu berkhidmat di TASKI, ibuku berdepan dengan anak-anak yang datang dari pelbagai latar belakang. Rata-rata anak-anak yang dihantar ke TASKI ketika itu terdiri daripada CEO syarikat gergasi tanah air yang baru pulang dari US dimana mereka tinggal sekitar Petaling Jaya. Malah, cucu kepada Sultan Selangor ketika itu yang berketurunan Pan-Asia turut ditempatkan di taski tersebut. Ibuku menganggap pengalaman yang dilalui sepanjang berkhidmat di TASKI tersebut merupakan langkah persediaan awal bagi menjaga dan membesarkan anak-anak sendiri apabila sudah berumah tangga kelak. Bekerja sambil belajar bukanlah penghalang untuk seseorang cemerlang dalam
pengajiannya. Ibuku telah membuktikannya. Alhamdulillah, hasil usaha gigih
beliau serta berkat doa ibu di kampung, beliau berjaya merangkul segulung
ijazah dalam bidang Sains Kepustakaan dengan Kepujian daripada Institut
Teknologi Mara (ITM). Pengalaman belajar ibuku bakal menjadi sebuah kisah
kehidupan yang cukup berinspirasi dalam menyuntik semangat kami lima adik-beradik
dalam menuntut ilmu. Kemuncak kejayaan yang dikecapi ibu adalah apabila menamatkan pengajian Sarjananya dalam bidang Sains Kepustakaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dikala usianya sudah mencecah 39tahun. Beliau berhasrat untuk menyambung pengajiannya ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang yang sama. Hasrat ini diturut disokong oleh para pensyarah antarabangsa dari UIAM kerana mereka menganggap ibuku adalah seorang yang berkelayakan atau dalam bahasa mudah "PhD material person". Namun takdir Allah mengatasi segala-galanya. Hasrat beliau bagi menyambung pengajian ke peringkat PhD tidak berkesampaian kerana bapaku telah kembali ke pangkuan Tuhan-Nya.
Institut Teknologi Mara (ITM) |
Akhirnya Aku Berjaya |
Tulisan ini penulis dedikasikan khas buat insan yang
sangat berpengaruh dalam diriku, iaitu ibuku yang tercinta, Hajjah Noraini
Mukhtar atas keutuhan semangat dan kecekalan jiwa dalam membesarkan kami
adik-beradik lima orang yang bermacam ragam dan perangai di saat kehilangan
seorang suami yang tercinta. Namun, ibu seringkali mengingatkan kepada kami
bahawa sesungguhnya setiap kekuatan itu adalah kurniaan Allah. Nasihat yang
ringkas tapi ia cukup meruntun jiwa. Terima kasih mak. Terima kasih ayah. Tanpa
kalian yang senantiasa mendoakan kesejahteraan kami, siapalah kami ini.
Penulis bersama ibu di Madinah |
-Nukilan Anak yang Kerinduan di Perantauan-