Kehidupan ini ibarat sebuah Sekolah manakala Pengalaman dan Ilmu adalah Gurunya,namun kedua-duanya tiada ertinya andai ianya tidak dipandu oleh Islam,Iman & Ihsan..
Bila Tuhan Berbicara..
Sabtu, 23 November 2013
Jumaat, 22 November 2013
Haji: Mencari Redha Allah 3
SIRI 3-
Catatan
11 Oktober 2013M/6 Zulhijjah 1434H (Jumaat)
Keberangkatan kami ke
Makkah.
Kursus haji sudah,
taklimat haji pun selesai, barang-barang semuanya sudah dikemas. Hanya tinggal
bertolak ke Makkah.
Tit Tit Tit.. kiriman
mesej masuk ke ruangan inbox telefon.
“Wahai saudaraku,
kita akan bermusafir ke Makkah pada hari ini bersama hamlah (rombongan) Bashair
Iman. Anda dikehendaki berkumpul di
masjid al-Hijrah tepat jam lima petang- al-Hajj (pengirim mesej)”
![]() |
SYARIKAT BASHAIR ALIMAN UNTUK HAJI DAN UMRAH |
Akhirnya, saat yang telah dinanti-nantikan
sejak sekian lama telah tiba. Hati terasa begitu berdebar-debar. Masakan tidak,
pada hari ini, kami akan berangkat ke Makkah Mukarramah bagi menunaikan rukun
Islam yang kelima. Bahkan, kami merupakan rombongan pertama yang berangkat ke
Makkah. Alhamdulillah, sungguh tidak tergambar kegembiraan kami ketika itu.
Namun, kegembiraan
kami tidak kekal lama. Kami telah dimaklumkan
oleh pihak syarikat menerusi SMS bahawa
masa bertolak telah diubah kepada jam 9 malam kerana kelewatan bas. Allahul
Musta’an.
Jam 9 malam, semua pelajar
telah sedia berkumpul di dataran Masjid Al-Hijrah seusai solat Isya’ berjemaah.
Kami berkumpul mengikut kumpulan yang ditetapkan dan diketuai oleh seorang
munasik (ketua kumpulan).
![]() |
Para Pelajar Berkumpul Di Masjid Al-Hijrah |
Jam di tangan
menunjukkan pukul 9.45p.m namun kelibat bas masih tidak kelihatan. 10 minit, 20
minit, 30 minit, 40minit, 50 minit. Akhirnya setelah dua jam menunggu, bas
sampai.
Namun, penantian
selama 2 jam tersebut hanya sia-sia. Apabila semua pelajar telah mengambil
duduk masing-masing, tiba-tiba musyrif (guru pengiring) mengarahkan para
pelajar untuk turun dari bas. Masing-masing berpandangan sesama sendiri kerana
kehairanan akan arahan yang pelik itu. Rupa-rupanya, para pemandu bas
kepenatan. Mereka mahu berehat malam itu setelah memandu jauh dari Makkah.
Pemandu bas kata kami akan bertolak keesokan harinya usai solat Subuh.
Allahul Musta’an,
sudahlah kami kena menunggu kedatangan bas dua jam lewat daripada masa yang
dijanjikan, apabila bas sampai, tidak jadi pula untuk bertolak malam tersebut.
Alasan mereka Penat! Perasaan bercampur baur antara geram, marah, sedih.
Begitulah perangai orang Arab, sukar dijangka. Suka buat keputusan sendiri
tanpa mengira perasaan orang lain. Tidak ada apa yang boleh dilakukan melainkan
redha dengan kejadian yang menimpa. Bukankah kita hanya mampu merancang, namun
Allah jualah yang menentukannya??
Catatan 12 Oktober
2013M/7 Zulhijjah 1434H (Sabtu)
Jam 8.45 a.m,
bermulanya permusafiran kami ke Makkah bagi melaksanakan Haji. Setiap pelajar
telah siap dengan pakaian ihram di badan sebelum memulakan perjalanan kerana
kami telah dimaklumkan bahawasanya bas tidak akan berhenti singgah di masjid
Zulhulaifah (tempat niat Ihram). Sewaktu dalam bas, salah seorang musyrif Misri
(Mesir) mengingatkan kami tentang niat ihram sewaktu bas melintasi kawasan
miqat nanti. Beliau juga mengingatkan kami agar memutuskan jenis haji yang
bakal kami laksanakan sama ada Haji
Ifrad, Tamattu’ mahupun Qiran sebelum sampai ke kawasan miqat.
![]() |
Masjid Zulhulaifah (Miqat Ahli Madinah) |
(Miqat adalah tempat
berniat ihram untuk jemaah Haji. Niat melaksanakan Haji adalah rukun Haji, seandainya tidak melaksanakan niat Haji, maka hajinya terbatal manakala berniat ihram di Miqat merupakan wajib haji, sekiranya tidak berniat Ihram di Miqat, maka jemaah haji dikekehendaki membayar dam-denda. Zulhulaifah merupakan miqat bagi penduduk Madinah atau
bagi mana-mana jemaah haji yang berangkat ke Makkah dari atau melalui Madinah. Zulhulaifah terletak sejauh 450km dari Makkah. Kini, ia dikenali
sebagai Bir Ali)
Maksud hadith:
"Diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas -semoga Allah redha akan kedua-duanya-, beliau berkata bahawasanya Rasulullah sallahualaihiwasalam telah menetapkan bahawa untuk penduduk Madinah (tempat berniat ihramnya) di Zulhulaifah, bagi penduduk Syam tempatnya di Al-Juhfah, bagi penduduk Najd tempatnya di Qarn Manazil, bagi penduduk Yaman di Yallamlam. Maka sesungguhnya tempat-tempat yang disebutkan adalah (tempat miqat) bagi penduduk tempat tersebut serta (tempat miqat) bagi sesiapa yang melalui kawasan tersebut dengan tujuan bagi mengerjakan ibadah Haji dan Umrah..
Musyrif tersebut
menerangkan kami bahawasanya pelaksanaan niat bagi mengerjakan Haji hendaklah
dilafazkan secara jahar (kuat). Ia sedikit berbeza dengan niat amalan-amalan
yang lain. Niat dalam hati sudah memadai bagi melaksanakan ibadah kecuali
ibadah haji kerana niat haji perlu dilafazkan secara jahar.
Langgan:
Catatan (Atom)